Browse By

Karnival Golf “Family Fun with Golf”

27 November 2014 – UTMSPACE Golf Academy telah menganjurkan Karnival Golf “Family Fun with Golf”  pada 22-23 November 2014, bertempat di Driving Range, Pulai Springs Resort, Johor Bahru. Karnival bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang dengan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat umur. Karnival Golf UTMSPACE yang diadakan ini bertujuan untuk memperkenalkan UTMSPACE Golf Academy dan mempromosikan program-program latihan golf yang ditawarkan. Karnival yang julung-julung kali diadakan ini juga diadakan untuk mengembangkan dan meningkatkan penglibatan khalayak umum dalam sukan golf melalui penawaran program latihan yang komprehensif dengan harga berpatutan.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah “Starting New at Golf” (SNAG) yang menarik minat kanak-kanak dan keluarga. Selain itu, “Golf Clinic” adalah terbuka kepada pemain golf yang memerlukan tips dan nasihat untuk memperbaiki mutu permainan mereka. “Golf Simulator Test Drive” pula memberikan peluang kepada pengunjung untuk mencuba simulator golf yang disediakan. Pemenang pertandingan “Hole-in-One” tempoh hari telah menerima hadiah berupa baucer untuk menggunakan simulator golf, dan “green fee” untuk satu “flight” bermain golf di Pulai Springs Resort.

 

Karnival yang dijalankan telah menarik lebih 200 pengunjung bersama ahli keluarga daripada semua peringkat umur. Majoriti pengunjung yang hadir adalah dari sekitar Johor Bahru termasuk pelajar dan staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta pengunjung dari luar kawasan yang menginap di Pulai Springs Resort. Karnival yang berlangsung selama dua hari ini juga mendapat sambutan pelajar antarabangsa daripada UTM.