Browse By

UTM-JDT METERAI MOU BANGUNKAN PROGRAM DIPLOMA SUKAN DAN KECERGASAN.

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM (UTMSPACE) dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk penubuhan program baharu Diploma Sukan dan Kecergasan.

UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu akan bermula Disember ini dan merintis peluang bagi institusi pendidikan tinggi, khususnya UTM, dalam menjalin usaha sama bersama industri sukan negara ke arah meningkatkan taraf pendidikan ahli sukan tanah air.

Majlis pemeteraian MoU itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE Profesor Ts Dr Nazri Ali dan Pemangku Pengurus Besar JDT Datuk Salehuddin Hassan.

Menurut UTM, tempoh pengajian bagi program itu adalah selama dua setengah tahun dengan syarat kemasukan tiga kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Turut hadir dalam majlis berkenaan Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Encik Alistair Edwards, Ketua Pegawai Eksekutif JDT FC, pengurusan tertinggi UTMSPACE dan JDT FC.