Browse By

PELAJAR SPACE UTM TERLIBAT DALAM PROGRAM KEWANGAN “SMART START” DAN “RISING GRADS MALAYSIA” ANJURAN ARIM

KUALA LUMPUR, 31 Julai 2025 – UTMSPACE terus memperkukuh peranan dalam pembangunan generasi muda apabila telah turut sama membantu membawa pelajar UTM menyertai program anjuran AmanahRaya Investment Management Sdn. Bhd. (ARIM) iaitu “Smart Start: Empowering the Next Generation” dan “Rising Grads Malaysia: Financial Literacy Essentials”.

Kedua-dua program ini merupakan kesinambungan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) ARIM selepas kejayaan Future Finance Forum ARIM 2025 yang berlangsung pada Januari lalu.

Turut hadir bagi menyokong penglibatan pelajar UTM dalam program ini ialah Prof. Dr. Nazri bin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE, serta Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, Dekan SPACE.

Program Rising Grads Malaysia, yang akan berlangsung dari 1 hingga 2 Ogos 2025, menghimpunkan penyertaan pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan GIATMARA. Program ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan ilmu pengurusan kewangan peribadi yang merangkumi perancangan kewangan, pengurusan bajet serta amalan simpanan jangka panjang – elemen penting dalam membina asas kewangan yang kukuh menjelang alam kerjaya.

Penyertaan pelajar dalam program ini sejajar dengan komitmen UTM untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah berdaya tahan dari sudut kewangan serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan.