Browse By

Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat UTMSPACE Sempena Konvokesyen ke 50

6 Mei 2013– Sempena Konvokesyen ke-50, UTMSPACE sekali lagi meraikan graduannya melalui Majlis Anugerah Dekan dan Hadiah UTMSPACE. Majlis ini diadakan untuk memberi penghargaan kepada graduan yang meraih kejayaan cemerlang dalam pengajiannya dalam Program Separuh Masa di peringkat Diploma dan Sarjana Muda di UTMSPACE.

Menurut Profesor Khairul Anuar B. Abdullah, Dekan UTMSPACE, seramai 518 graduan Pengajian Separuh Masa layak digraduankan. Seramai 24 orang graduan yang akan menerima Hadiah Akademik UTMSPACE atas kejayaan mendapat Kelas Pertama. Turut diraikan Penerima Anugerah Dekan seramai 56 graduan yang telah mendapat PNGK 3.50 dan ke atas. Seterusnya, UTMSPACE juga berbesar hati memberikan Hadiah UTMSPACE kepada graduan bagi kategori Veteran, Suami/Isteri, Adik-beradik dan Program Kejuruteraan. Sebagai simbol mendokong dan memperkasa pembelajaran sepanjang hayat julung-julung kalinya UTMSPACE memperkenalkan Anugerah Tokoh Pembelajaran Sepanjang Hayat sempena Majlis Konvokesyen ke- 50 UTM sekali gus meraikan ulang tahun UTMSPACE.

Sempena ulangtahun UTMSPACE ke-20, UTMSPACE memberikan satu anugerah khas iaitu Tokoh Pembelajaran Sepanjang Hayat yang diberikan khas kepada seorang graduan UTMSPACE yang paling terpilih iaitu Pn. Fathiah Bt Abdullah. Pn Fathiah adalah graduan dari Program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Pada majlis ini, beliau telah menerima 3 anugerah iaitu Anugerah Dekan, Hadiah Akademik dan Hadiah Khas iaitu kategori Veteran. Dengan kecermelangan itulah UTMSPACE telah memilih beliau untuk mendapat anugerah istimewa iaitu Tokoh Pembelajaran Sepanjang Hayat UTMSPACE.

Anugerah Dekan dan Hadiah UTMSPACE, Hadiah UTMSPACE diwujudkan secara khusus bagi menyampaikan rasa terima kasih dan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah gigih berusaha meningkatkan pengetahuan demi kemajuan diri dan kerjaya mereka pada masa akan datang. Bukanlah suatu usaha yang mudah untuk mencapai kejayaan seperti ini. Semestinya kejayaan yang dikecapi pada hari ini adalah hasil pelbagai pengorbanan dan komitmen yang jitu daripada para graduan.

Pengurusan UTMSPACE bergambar bersama dengan pemenang anugerah medal UTMSPACE di Kolej Rahman Putra, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor Bahru

Pn Fathiah Bt Abdullah menerima hadiah hadiah khas berupa Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat atas kejayaan beliau yang cemerlang dalam pengajiannya di UTMSPACE. Hadiah disampaikan oleh YB Dekan UTMSPACE; Prof Khairul Anuar B Abdullah, diiringi oleh Porf Madya Dr Zulkifli B Mohd Yunus, Pengarah Program Pengajian Separuh Masa.