Browse By

Pelajar Program Kerjasama Menerima Anugerah Medal Kelas Pertama Sempena Konvokesyen Ke-51 Universiti Teknologi Malaysia

27 Oktober 2013 – Sempena Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ke-51 yang sedang berlangsung, UTMSPACE turut meraikan pelajar-pelajar dari program kerjasama yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat Diploma. Dalam satu majlis yang diadakan di Pulai Springs Resort, seramai 30 orang pelajar cemerlang telah diraikan. Para graduan tersebut merupakan pelajar-pelajar dari 11 buah kolej daripada keseluruhan 15 buah kolej yang membuat Program Kerjasama bersama Universtiti Teknologi Malaysia dibawah kendalian UTMSPACE.
Dalam majlis Konvokesyen ke-51 kali ini, seramai 913 graduan menerima Diploma masing-masing dari sejumlah 15 buah Kolej yang terlibat dalam Program Kerjasama ini. Sehingga tahun 2013, enrolmen pelajar Program Kerjasama telah mencapai lebih daripada 23 ribu orang.
Salah seorang pelajar terbaik yang menerima anugerah medal ialah saudara Muhammad Safuwan bin Sohaimi, 22 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang. Beliau merupakan pelajar dari Kolej PSDC Kuantan, Pahang dengan pencapaian cemerlang CGPA 3.90. Beliau merupakan anak sulung dari 4 orang adik beradik dan kini telah bertugas sebagai Wireman di Syarikat KISB Sdn Bhd, Kuantan Pahang. Beliau yang aktif sejak dari bangku sekolah telah meneruskan kecermelangannya di Kolej PSDC melalui program Kerjasama UTM. Menyedari akan tanggungjawabnya sebaga anak sulung, beliau bertekad untuk mengambil program Diploma bagi membantu dan meningkatkan taraf kehidupan keluarganya kelak. Walaupun pengajiannya di Kolej PSDC, namun melalui program kerjasama ini Diploma yang diterimanya adalah sama seperti pelajar arus perdana di Kampus UTM kerana program pengajian ini turut ditauliahkan oleh pihak Universiti Teknologi Malaysia melalui UTMSPACE.
Dalam Majlis ini, Dekan UTMSPACE, Y Bhg. Prof. Khairul Anuar bin Abdullah telah merasmikan dan menyampaikan hadiah medal kelas pertama kepada pelajar-pelajar yang cemerlang. Dalam majlis ini juga, Timbalan Naib Canselor Pembangunan & Inovasi, Y. Bhg Prof. Ir. Dr. Azraai Bin Kassim turut hadir dan menyampaikan sijil validasi dan cenderamata kepada Ketua Eksekutif 15 buah Pusat Kerjasama yang terlibat dalam Program Diploma Kerjasama UTM. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang menerima anugerah dan Pusat Kerjasama yang terlibat dalam Konvokesyen-51 kali ini.