Browse By

Majlis Aluan dan Pendaftaran Pelajar Baharu

Sabtu, 6 September 2014 – Sesi pendaftaran pelajar baru Program Sarjana Muda separuh masa UTMSPACE telah berlangsung pada hari Sabtu, 6 September  2014. Sesi Pendaftaran telah diadakan di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Johor Bahru dari jam 8.00 pagi sehingga 5 petang. Seramai 607 orang pelajar telah datang mendaftar dari keseluruhan jumlah 1007 orang calon yang telah ditawarkan tempatPelajar hadir dari seluruh pelusuk Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak untuk mengikuti program sarjana muda pengajian separuh masa UTMSPACE bagi sesi September 2014/2015. Sebanyak 24 program yang ditawarkan bagi kemasukan September 2014 di 10 pusat pembelajaran di seluruh Malaysia antaranya di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kota Bharu, Pulau Pinang, Miri (Sarawak), dan Kerteh (Terengganu). Program yang ditawarkan dibuka kepada pekerja dewasa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia, serta mereka yang ingin memajukan diri untuk meningkatkan pencapaian dalam kerjaya masing-masing.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Prof. Dr. Khairul Anuar Bin Abdullah selaku Pengarah Urusan/ Dekan UTMSPACE. Majlis pendaftaran bermula seawal jam 8 pagi dan tamat kira-kira jam 5 petang. Pada sesi petang pula diadakan taklimat Pengajaran & Pembelajaran Program Pengajian Separuh Masa & Sesi Soal Jawab juga telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Separuh MasaUTMSPACE, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Zulkifli b. Mohd Yunus.

UTMSPACE mempunyai satu sistem akademik yang unik dan tidak seperti program jarak jauh (PJJ) di universiti lain kerana ia menawarkan program pengajian separuh masa yang memerlukan  pelajarnya mengikuti kuliah secara bersemuka dengan pensyarah UTM, sama seperti pelajar sepenuh masa. Apa yang membezakan program ini ialah, kuliah diadakan pada hujung minggu  dan diadakan secara bersemuka di 17 pusat pembelajaran UTMSPACEdi seluruh negara dan bertujuan memberi peluang kepada pelajar berinteraksi secara langsung dengan tenaga pengajar.

Objektif program pengajian ini ditawarkan adalah untuk melahirkan ahli teknologi dan golongan profesional yang kreatif sebagai memenuhi kehendak pasaran. Pensyarah yang mengendalikan program ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dan sudah mengikuti kursus sebelum layak menjadi tenaga pengajar untuk golongan dewasa bekerja dalam program pengajian separuh masa sarjana muda ini.

Program ini adalah satu laluan kepada golongan ‘orang lama’ yang bekerja, sama ada lepasan Diploma mahupun lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  kerana  golongan  ini  sebenarnya lebih memahami dan menguasai ilmu pembelajaran dengan lebih baik berbanding pelajar biasa kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas melalui pendedahan semasa berada dalam dunia pekerjaan.

Melalui UTMSPACE, selain bilangan jam kuliah yang sama dengan pelajar sepenuh masa, pelajar-pelajar ini juga turut mengambil kertas peperiksaan sama yang dijalankan secara serentak dengan semua pelajar kursus sepenuh masa di UTM. Oleh itu, kualiti sijil akademik yang dimiliki mereka adalah sama dengan pelajar  perdana  selepas  menamatkan pengajian dan kerana itulah program ijazah kejuruteraan UTMSPACE adalah satu-satunya program ijazah kejuruteraan separuh masa yang diiktiraf  Lembaga  Jurutera  Malaysia. Program sarjana muda  ini ditawarkan sebanyak 2 kali setahun dan permohonan adalah secara online di www.utmspace.edu.my. UTMSPACE mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baru yang berjaya mendaftar dan selamat maju jaya dalam mengharungi cabaran sebagai mahasiswa baru.pendaftaran ppsm pendaftaranppsm2