Browse By

Pendaftaran Pelajar Baru Program Sarjana Muda Separuh Masa Kemasukan Sept 2013/2014

Sabtu, 7 September – Sesi pendaftaran pelajar baru Program Sarjana Muda separuh masa UTMSPACE berlangsung pada hari Sabtu, 7 September 2013. Sesi Pendaftaran telah diadakan di Blok N24, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Johor Bahru dari jam 8.00 pagi sehingga 5 petang. Seramai 900 orang pelajar telah datang mendaftar dari keseluruhan jumlah 1,164 orang calon yang telah ditawarkan tempat. Pelajar yang hadir terdiri daripada seluruh pelusuk Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak untuk mengikuti program pengajian separuh masa UTMSPACE bagi sesi September 2013/2014.

Sebanyak 20 program yang ditawarkan bagi semester September 2013 di pusat pembelajaran di seluruh Malaysia iaitu, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kota Bharu, Pulau Pinang, Miri (Sarawak), Kota Kinabalu dan Kerteh (Terengganu). Program yang ditawarkan dibuka kepada mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia, serta mereka yang ingin memajukan diri untuk meningkatkan pencapaian dalam kerjaya masing-masing. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Khairul Anuar Bin Abdullah selaku Pengarah Urusan dan Dekan UTMSPACE. Majlis pendaftaran bermula seawal jam 8 pagi dan tamat kira-kira jam 5 petang. Pada sesi petang, diadakan taklimat Pengajaran & Pembelajaran Program Pengajian Separuh Masa & Sesi Soal Jawab telah di berikan oleh Prof. Madya Sr. Dr. Mohd. Zulkifli b. Mohd. Yunus, Pengarah Pusat Pengajian Separuh Masa UTMSPACE.
UTMSPACE mempunyai satu sistem akademik yang unik tidak seperti program jarak jauh (PJJ) di universiti lain kerana ia menawarkan program pengajian separuh masa yang memerlukan pelajarnya mengikuti kuliah secara bersemuka dengan pensyarah UTM, sama seperti pelajar sepenuh masa. Apa yang membezakan program ini ialah, kuliah diadakan pada hujung minggu dan diadakan secara bersemuka di 17 pusat pembelajaran di seluruh negara yang bertujuan memberi peluang kepada pelajar berinteraksi secara langsung dengan tenaga pengajar.
Objektif program pengajian ini ditawarkan adalah untuk melahirkan ahli teknologi dan golongan profesional yang kreatif sebagai memenuhi kehendak pasaran. Pensyarah yang mengendalikan program ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dan sudah mengikuti kursus sebelum layak menjadi tenaga pengajar untuk golongan dewasa dalam program pengajian separuh masa sarjana muda ini.
Program ini adalah satu cabang mudah kepada golongan ‘orang lama’ yang bekerja, sama ada lepasan Diploma mahupun lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana golongan ini sebenarnya lebih memahami dan menguasai ilmu pembelajaran dengan lebih baik berbanding pelajar biasa kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas melalui pendedahan semasa berada dalam dunia pekerjaan.
Melalui UTMSPACE, selain bilangan jam kuliah yang sama dengan pelajar sepenuh masa, pelajar-pelajar ini juga turut mengambil kertas peperiksaan sama yang dijalankan secara serentak dengan semua pelajar kursus sepenuh masa di UTM. Oleh itu, kualiti sijil akademik yang dimiliki mereka adalah sama dengan pelajar sepenuh masa selepas menamatkan pengajian dan kerana itulah program ijazah kejuruteraan UTMSPACE adalah satu-satunya program ijazah kejuruteraan separuh masa yang diiktiraf Lembaga Jurutera Malaysia untuk pendaftaran jurutera siswazah. Program ini ditawarkan sebanyak 2 kali setahun dan permohonan adalah secara online di www.utmspace.edu.my

UTMSPACE mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baru dan selamat maju jaya.