UTM-Industry Pasir Gudang Community Engagement (UTM-IPGCE)
PASIR GUDANG, 9 Mac 2013: UTMSPACE telah terlibat dalam program UTM-Industry Pasir Gudang Community Engagement (UTM-IPGCE) yang telah berlangsung pada 9 Mac bertempat di Pasir Gudang, Johor.
Program anjuran UTM ini telah melibatkan 60 pelajar UTM yang berkampung selama empat hari di Kampung Sepakat, Masai mulai 7 Mac 2013 untuk mengadakan aktiviti gotong royong di sekitar kawasan kampung. Ini merupakan salah satu usaha UTM untuk menggalakkan nilai kesukarelawan di kalangan warga kampus.
Majlis perasmian telah diadakan pada Hari Sabtu, 9 Mac 2013. Dalam majlis perasmian tersebut, Johor Port Berhad telah menyumbangkan sebanyak RM5 juta kepada tabung endowment UTM. Pengerusi Johor Port Berhad, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada Naib Canselor UTM, Dato’ Seri Prof Dr Zaini Ujang di majlis perasmian UTM-Industry Pasir Gudang Community Engagement (UTM-IPGCE), dekat sini hari ini.
Sumbangan ini merupakan antara sumbangan terbesar yang pernah diterima oleh UTM. Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga melancarkan nama baru Pusat Teknologi Marin kepada UTM – Johor Port Marine Technology Centre.
Dalam acara tersebut, sambutan yang diterima dari orang ramai terhadap booth UTMSPACE amatlah menggalakkan. Pengunjung yang hadir berminat untuk mengikuti pelbagai tawaran pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan oleh UTMSPACE. Ini ditambah pula dengan promosi UTMSPACE untuk ‘LIKE” saluran media sosial UTMSPACE iaitu Facebook, Twitter dan Instagram. Malah pengunjung berpeluang mendapatkan hadiah percuma. Selain dari itu, pengunjung telah memenangi pelbagai hadiah lain dengan menjawab teka silang kata mengenai UTMSPACE.