UTMSPACE MENAJA KEPERLUAN WARGA NUR EHSAN
19 Ogos 2011 – Seramai 66 warga emas Nur Ehsan diraikan dalam satu majlis Berbuka Puasa bertempat di Pusat Penjagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas, Johor Bahru. Majlis ini telah dihadiri oleh 50 kakitangan UTMSPACE bagi berbuka puasa bersama-sama dengan warga Emas Nur Ehsan. Acara ini merupakan anjuran Unit Komunikasi Pemasaran UTMSPACE dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan UTMSPACE (KESUKEB).
Majlis ini bertujuan untuk meraikan golongan kurang bernasib baik terutamanya warga emas yang memerlukan bantuan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk hubungan persaudaraan dan kemesraan dikalangan staf UTMSPACE serta menyalurkan bantuan bagi memberi keselesaan dan berkongsi rasa melalui penyempurnaan tanggungjawab sosial.
Menurut Pengarah Pembangunan Profesional, Prof Madya Dr. Abd Halim B. Abd Raof, majlis ini merupakan kali pertama diadakan di Rumah Warga Emas Nur Ehsan dan diharap program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UTMSPACE seperti ini akan diadakan setiap tahun bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Dalam majlis tersebut, Pengarah Pembangunan Profesional, Prof Madya Dr. Abd Halim B. Abd Raof turut menyerahkan sumbangan UTMSPACE berupa penajaan 10 buah katil kepada Pengerusi Rumah Nur Ehsan, Ir Hj Md Sharipin Shahlan. Penajaan 10 buah katil ini adalah bagi melengkapkan keperluan blok yang baru dibina untuk menempatkan 10 penghuni warga Nur Ehsan. Selain itu juga,sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan pakaian terpakai juga diberikan hasil dari bantuan derma 145 orang kakitangan UTMSPACE.