Universiti Teknologi Malaysia , Dan Guilin University Of Electronic Technology (GUET) China,Teroka Kerjasama Strategik Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi Teknologi
14 Mei 2026- UTM melalui UTMSPACE menerima kunjungan delegasi daripada Guilin University of Electronic Technology (GUET), China dalam satu sesi perbincangan strategik yang berlangsung pada 14 Mei 2026 UTM,Kuala Lumpur.
Sesi ini menjadi platform penting dalam meneroka potensi kerjasama akademik dan penyelidikan antara UTM, dan GUET, merangkumi beberapa bidang utama seperti program mobiliti pelajar, program akademik 4+0, kolaborasi penyelidikan bersama serta cadangan penubuhan pusat penyelidikan bersama.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada peluang pelaksanaan program mobiliti pelajar seperti lawatan akademik jangka pendek, pertukaran pelajar selama satu semester, latihan penyelidikan, pemindahan kredit serta pengiktirafan akademik. Inisiatif ini dilihat berpotensi memperkukuh pengalaman pembelajaran antarabangsa dan memperluas jaringan akademik pelajar di peringkat global.
Selain itu, kerjasama dalam bidang AI & Data Kejuruteraan, Pembuatan Semikonduktor, Sistem Elektronik Pintar, Mikroelektronik, Pembuatan Pintar & Robotik serta Bandar Pintar & Mobiliti Pintar turut dibincangkan sebagai bidang keutamaan yang berimpak tinggi dan selari dengan keperluan teknologi masa hadapan.
Kunjungan ini turut disertai delegasi GUET yang terdiri daripada Tan Sri Liow Tiong Lai, Mantan Presiden MCA, Menteri Kesihatan dan Menteri Pengangkutan; Profesor Zhang Wentao, Presiden Guilin University of Electronic Technology; Encik Huang Shaobo, Setiausaha Jawatankuasa Parti, Guangxi Academy of Artificial Intelligence; Profesor Wu Jun, Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan; Profesor Ye Song, Timbalan Dekan Eksekutif, Pusat Pengajian Kejuruteraan Optoelektronik; Profesor Gao Laniyng, Dekan Kolej Pertukaran Antarabangsa; serta Dr. Mohd Kamil Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif, Starway International Sdn. Bhd.
Pihak UTM dan UTMSPACE pula diwakili oleh Profesor Dr. Jafri bin Din, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik; Profesor Dr. Fauziah Sh. Ahmad, Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur; Dr. Noor Hafizah binti Hassan, Pengurus Penglibatan Luar dan Global, Fakulti Kecerdasan Buatan; Dr. Shazwin binti Mat Taib, Penyelaras Etika AI, Pusat Kecerdasan Buatan dan Robotik; Profesor Mohd Shahrizal bin Sunar, Dekan SPACE UTM; Profesor Madya Dr. Kamaludin bin Mohamad Yusof, Timbalan Dekan SPACE UTM; Puan Zareena binti Omar, Pengarah Pembangunan Bisnes UTMSPACE; Encik Zulkifli bin Osman, Pengurus Besar, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa UTMSPACE; serta Encik Faizul Azli bin Abdul Ridzab @ Hassan, Pengurus Besar, Pusat Pengajian Diploma SPACE UTM.
Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen UTM dan UTMSPACE dalam memperkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi, memperluas jaringan penyelidikan rentas negara serta membangunkan ekosistem pembelajaran yang inovatif, relevan dan berdaya saing di peringkat global.








